BENTONG – Seorang anggota tentera berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tujuh pertuduhan mencederakan rakan setugasnya, termasuk seorang mangsa yang dilaporkan kritikal.
Tertuduh, Sukry Tasu, 37, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas sebagai penjaga stor telah didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, di stor senjata Kompeni C, Kem Askar Batalion Ke-25, Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Bentong di sini, kira-kira pukul 8. 30 pagi, 30 Mac lalu.
Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid mencadangkan jaminan RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh selain syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa sehingga kes selesai.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Mohamed Hafiz Baharudin meminta wang jaminan dikurangkan kerana pendapatan bersih anak guamnya hanya kira-kira RM1,800.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dan memerintahkan tertuduh supaya tidak mendekati kesemua mangsa sepanjang tempoh perbicaraan.
Bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh, tertuduh didakwa telah menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Irfan Aiman Mohd Tajudin, 19, Nik Amir Zaqwan Nik Asrizal, 19, Muhammad Syakirin Yaacob, 20, Mohammad Atiqillah Taugek Rashidi, 21, Muhamad Danial Asraf Azizah, 22, dan Muhammad Azman Shah Ismail, 22.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh supaya tidak mendekati kesemua mangsa sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 18 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE














