fbpx
Seramai 50 pengusaha bas persiaran dari Kelantan, Terengganu dan Pahang berhimpun secara aman untuk menuntut subsidi diesel di Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini.

Harga diesel naik, pengusaha bas persiaran berisiko ‘gulung tikar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kira-kira 1,000 pengusaha bas persiaran di Pantai Timur yang tidak tergolong dalam senarai penerima subsidi menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) berdepan situasi bakal ‘gulung tikar’ susulan kenaikan harga diesel kesan daripada konflik di Asia Barat.

Peningkatan diesel kepada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April mengakibatkan banyak tempahan sewaan bas persiaran dibatalkan oleh pelanggan apabila kadar tambang untuk sebuah bas dinaikkan sehingga 30 hingga 40 peratus.

Timbalan Pengerusi Persatuan Bas Pantai Timur (Pebat), Wan Mohd. Nuhairi Wan Hamat berkata, bas persiaran tidak tergolong dalam syarikat yang layak menerima SKDS apabila kerajaan menetapkan subsidi diesel hanya kepada syarikat pengangkutan kategori yang lain.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kesemua pengusaha bas persiaran terpaksa menyerap kos untuk mengisi diesel yang tinggi untuk terus bertahan dan membawa penumpang.

“Pengusaha bas persiaran merupakan penyedia perkhidmatan tempatan di negeri-negeri dan kami tidak mendapat SKDS. Keadaan ketika ini lebih rumit apabila ramai pihak yang membatalkan tempahan mereka selepas kadar tambang dinaikkan 30 hingga 40 peratus susulan peningkatan harga diesel.

“Sebagai contoh, sebelum ini sewaan bas persiaran untuk perjalanan pergi dan balik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur ditetapkan pada kadar RM3,000. Sejak peningkatan diesel, kami menaikkan kadar sewa sebuah bas mencecah RM5,000 dan ramai yang membatalkan tempahan sejak kebelakangan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Himpunan Pengusaha dan Pemandu Bas Pantai Timur di Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Pada himpunan itu, seramai 50 pengusaha bas persiaran dari Kelantan, Terengganu dan Pahang berhimpun secara aman untuk menuntut subsidi diesel daripada kerajaan selain menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya termasuk Kementerian Kewangan campur tangan dalam hal tersebut.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Nuhairi memberitahu, sekiranya keadaan peningkatan harga diesel berlarutan tanpa sebarang pemberian subsidi, pengusaha-pengusaha bas persiaran di Pantai Timur dijangka mampu bertahan dalam tempoh dua bulan lagi.

Menurutnya, sebelum ini, pengusah bas persiaran kurang mendapat tempahan sewaan bas bermula musim tengkujuh pada November dan Disember sehingga Ramadan lalu.

“Kami juga tidak menerima tempahan pada Januari dan Februari lalu kerana belanjawan bagi kebanyakan sektor kerajaan terutamanya sekolah masih belum diluluskan pada waktu tersebut.

“Kami bersedia berbincang dan menerima syarat yang ditetapkan kerajaan, asalkan bantuan dapat diberikan demi kelangsungan industri dan kebajikan pekerja. Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan subsidi diesel pada kadar RM1.88 atau RM2.15 sama seperti penerima SKDS yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik syarikat Sri Gunong Travel Sdn. Bhd., Wan Nurul Hakimah Wan Hamat berkata, syarikat milik keluarganya yang beroperasi sejak 1978 ketika ini berdepan tekanan yang berat selepas pandemik Covid-19.

Menurutnya, sebanyak 15 ‘trip’ sewaan bas melibatkan perjalanan jauh sudah dibatalkan oleh pelanggan sejak hampir sebulan lalu.

“Syarikat kami mempunyai 10 buah bas dan empat daripadanya masih perlu dibayar ansuran setiap bulan. Jika keadaan ini berterusan, susah untuk kami membayar ansuran bas kerana perlu menyerap kos kenaikan diesel ditambah pula dengan pembatalan sewaan bas persiaran oleh pelanggan,” katanya.

Pemandu bas persiaran, Mohd. Azuan Hamid, 45, pula berkata, situasi itu boleh menyebabkan dia hilang punca pendapatan kerana kekurangan tempahan bas sejak beberapa minggu lalu.

“Apabila perjalanan batal, sumber pendapatan dan aktiviti harian saya juga akan terjejas. Sebelum ini, saya boleh mendapat upah sebanyak RM300 untuk perjalanan pergi dan balik dari Kuala Lumpur.

“Kini, nak dapat satu perjalanan pun sukar kerana tiada tempahan sewaan bas persiaran. Saya juga bergantung kepada pengusaha bas. Jika mereka ada tempahan, maka saya akan ada kerja. Saya tiada gaji tetap seperti pemandu bas ekspres,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN