PETALING JAYA – Hasrat seorang kanak-kanak perempuan untuk mencuba aksi ‘gelongsor’ di kawasan tangga sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) bertukar tragedi apabila kakinya tersepit, petang semalam.
Menurut hantaran tular di Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, kejadian berlaku di PPR Taman Anggerik, Jalan Tenom, Keningau kira-kira pukul 4 petang.
Mangsa berusia 10 tahun dipercayai bermain di kawasan tangga sebelum cuba meluncur pada bahagian pemegang tangga berkenaan, namun pergerakannya terhenti apabila kaki tersangkut di ruang sempit antara besi dan simen serta tidak dapat dikeluarkan.
Difahamkan, mangsa berada dalam keadaan tersepit hampir sejam sebelum bantuan kecemasan dihubungi.
Susulan itu, pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.44 petang sebelum sepasukan lapan anggota bersama jentera FRT dan EMRS bergegas ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba kemudiannya tiba di lokasi pada pukul 3.57 petang dan mendapati mangsa masih berada dalam keadaan tersepit sambil menangis kesakitan.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat dengan penuh berhati-hati, termasuk menenangkan mangsa yang dipercayai dalam keadaan trauma dan kesakitan.
“Bila kami ‘try adjust’ (cuba alih) sikit kaki dia mahu lepaskan… nah! Bermula kembali konsert jeritan batin. Sakit katanya. Ya adik… cinta yang dipaksa pun sakit, inikan pula betis yang dipaksa keluar dari himpitan simen.
“Bila tenaga fizikal tidak lagi relevan, kami seru kuasa magis sains. Senjata rahsia dikeluarkan. Kombinasi minyak masak dan air sabun. Licin. Akhirnya, dengan sentuhan magis dan kesabaran tahap wali, kaki si ‘staring’ berjaya diloloskan!,” tulis hantaran tersebut.
Menurut hantaran itu lagi, mangsa dilaporkan tidak mengalami kepatahan, namun mengalami calar serta lebam pada kaki dan dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital sebagai langkah berjaga-jaga.
Dalam pada itu, BBP Keningau turut mempersoalkan sama ada kejadian seumpama itu merupakan ‘trend cabaran terbaru budak-budak sekolah’ atau seolah-olah wujud subjek tidak rasmi bernama Eksperimen Anatomi Bersama Bahan Binaan.
Menurut perkongsian itu, baru minggu lalu mereka berdepan satu lagi kes melibatkan seorang murid sekolah rendah yang jarinya tersekat dalam lubang besi, kejadian yang turut tular di media sosial.
“Bila difikirkan balik coraknya, ia seakan-akan satu evolusi yang merisaukan. Minggu lepas jari sangkut lubang besi, minggu ini kaki pula sangkut celah simen.
“Graf saiz lubang dan anggota badan yang tersekat ini pun makin lama makin membesar. Kami risau mahu tunggu minggu depan, entah apa pula yang akan tersangkut,” seloroh mereka.
Malah, mereka turut berseloroh bahawa anggota bomba menjalani latihan selama berbulan-bulan untuk memadam kebakaran dan menyelamatkan nyawa, bukannya membuka ‘kaunter unboxing’ anggota badan kanak-kanak yang tersekat di sana sini.- KOSMO! ONLINE














