KUALA NERUS – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak menolak kemungkinan bakal menyertai salah sebuah parti dalam Perikatan Nasional (PN) demi kelangsungan wadah politik baharunya.
Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, timbul kekeliruan apabila beliau sebelum ini menyebut istilah ‘rumah baharu’ yang sebenarnya tidak semestinya bermaksud sebuah parti baharu.
“Kita kata ‘rumah baharu’ itu, tidak semestinya parti yang baharu ditubuhkan.
“Kemungkinan parti yang sedia ada. Insya-Allah, apa salahnya? ‘Rumah baharu’ saya mungkin sudah tersedia ada,” katanya selepas menyampaikan Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kelima di sini malam tadi.
Begitupun Hamzah masih berteka-teki dan enggan mengesahkan parti politik yang bakal disertainya.
Ahli Parlimen Larut tersebut yang mendakwa menerima sokongan 19 Ahli Parlimen Bersatu juga menegaskan kekal bersama PN biarpun dipertikai segelintir pihak di dalam parti lamanya.
”Saya masih lagi bersama PN. Bertanding pun atas watikah diberikan PN.
”Seramai 19 daripada 25 Ahli Parlimen (Bersatu) bersama dengan saya. Siapa yang tidak wajarnya? Mungkin ‘dia’ minoriti sepatutnya tidak wajar duduk di situ,” katanya. – KOSMO! ONLINE














