fbpx
HAIKAL dan Hon Jian akhirnya berpisah biarpun mereka dianggap memiliki potensi besar apabila pernah menghuni kedudukan No. 18 dunia.

Pecah gandingan demi lonjak prestasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARENA badminton negara berdepan situasi baharu apabila beberapa beregu lelaki, termasuk wakil kebangsaan dan profesional bertukar gandingan bagi menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang selepas ini.

Terbaharu, beregu No. 30 dunia, Choong Hon Jian-Haikal Nazri dipisahkan dan gandingan baharu bakal dibentuk dengan kejohanan pertama mereka dijangka pada kejohanan Terbuka Thailand di Patumwan bermula 12 hingga 17 Mei depan.

Hon Jian bakal berpasangan dengan Wong Vin Sean, manakala Haikal akan membentuk gandingan bersama Bryan Jeremy Goonting dengan kedua-dua beregu tersebut bakal memulakan kejohanan nanti di pusingan kelayakan.

Perkara itu disahkan menerusi senarai undian Terbuka Thailand di laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sebelum ini, Haikal dan Hon Jian mula digandingkan bersama sejak 2023 dengan kedua-dua pemain itu menunjukkan aksi cukup meyakinkan apabila muncul naib juara Indonesia Masters sebelum memenangi kejohanan Syed Modi dan Guwahati Masters.

Mereka meneruskan prestasi memberangsangkan itu apabila turut menjulang gelaran Orleans Masters pada 2024 selain menyaksikan Haikal-Hon Jian pernah menghuni ranking ke-18 dunia, iaitu kedudukan tertinggi mereka.

Bagaimanapun, kesinambungan itu gagal diteruskan apabila kedua-dua pemain berdepan masalah kecederaan sehingga menjejaskan corak permainan selain membuatkan tahap keyakinan mereka kian menurun.

Sementara itu, perubahan juga dapat dilihat dalam kalangan pemain profesional di mana bekas pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin turut mengambil keputusan untuk berpisah.

Ee Yi akan membentuk gandingan bersama Chia Wei Jie sementara Yew Sin belum mengumumkan pasangan baharunya manakala Jimmy Wong pula akan berpisah dengan Lai Pei Jing dan dijangka menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN