PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sarawak hingga pukul 1 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Kuala Langat dan Hulu Langat).
Hujan lebat turut diramal berlaku di kawasan Perak (Bagan Datuk dan Hilir Perak), Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan (Jelebu).
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Kapit (Bukit Mabong dan Belaga), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE













