SEPANG – Taktik seorang warga Switzerland menggunakan ‘water hose reel’ untuk menyembunyikan dadah berbahaya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa gagal apabila ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, individu itu ditahan ketika cuba masuk ke Malaysia dari salah sebuah negara di Asia Tenggara selepas imbasan pada kotak dibawanya menunjukkan imej mencurigakan.
“Pemeriksaan rapi dilakukan oleh pasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM LTAKL menemukan bungkusan hitam yang dilekatkan di dalam ‘water hose reel’ dan disyaki mengandungi dadah jenis heroin.
“Anggaran berat kasar dadah tersebut adalah sebanyak 3,324 gram dan nilai rampasan sebanyak RM265,920,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, individu terbabit telah dituduh di mahkamah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














