fbpx
Mohammed Azman ketika sidang akhbar selepas menyampaikan pencen penakat dan faedah pengurusan mayat Perkeso kepada Nur Nadia di Shah Alam. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

Majikan ‘lompat-lompat’ carum Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Segelintir majikan di negara ini dikesan masih membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) secara tidak konsisten dipercayai bagi menjimatkan kos operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, walaupun jumlahnya tidak banyak, terdapat majikan yang mencarum secara ‘lompat-lompat’ iaitu hanya membuat bayaran pada bulan tertentu dan mengabaikannya pada bulan lain.

Menurut beliau, keadaan itu biasanya dikesan melalui semakan rekod sebelum pasukan penguat kuasa Perkeso turun padang menegur majikan terlibat.

“Apabila kita semak rekod dan dapati ada dua bulan tidak bayar, pasukan penguat kuasa akan pergi ketuk pintu dan tanya kenapa tidak buat bayaran. Ada majikan kononnya buat begitu untuk jimat kos, tetapi jangan sampai mengorbankan kebajikan pekerja,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan pencen penakat Perkeso dan faedah pengurusan mayat kepada Nur Nadia Abdul Majid, 32, yang merupakan balu Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang maut selepas dilanggar pembantu makmal yang mabuk dan khayal dadah.

Mohammed Azman, bagaimanapun tidak memperincikan jumlah majikan yang berbuat demikian, sebaliknya menjelaskan keadaan itu tidak berada pada tahap membimbangkan.

Beliau berkata, Perkeso sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan kesedaran bagi memastikan majikan mendaftar pekerja serta membuat caruman secara konsisten.

Tegas beliau, kegagalan berbuat demikian boleh memberi kesan besar kepada kebajikan pekerja dan waris sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

“Walaupun keadaannya tidak membimbangkan, kita perlu ingat jika majikan tidak mendaftar atau mencarum dan berlaku sesuatu kepada pekerja, apa akan jadi kepada waris mereka.

“Janganlah kita berjimat dengan tidak mendaftar atau mencarum kerana perlindungan sosial ini sangat penting kepada pekerja dan keluarga mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN