SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan mengumumkan senarai pasukan petugas khas bagi menangani situasi semasa termasuk susulan konflik di Asia Barat selewat-lewatnya Isnin depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya sedang meneliti senarai cadangan nama individu dikemukakan jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum memuktamadkannya.
“Pasukan khas ini akan merangka pelaksanaan dan sokongan bagi menangani situasi semasa,” katanya selepas merasmikan program Jelajah Taat Setia Madani Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, hari ini.
Menurut Amirudin, beliau akan mempengerusikan mesyuarat penuh pasukan itu manakala cadangan teknikal akan diperhalusi pakar pelbagai bidang.
“Kepakaran itu termasuk ekonomi, kewangan, minyak dan gas bagi memastikan langkah diambil mampu mengurangkan kesan kepada rakyat. Cadangan daripada jabatan dan agensi akan dinilai bagi melihat kesesuaian sebelum dilaksanakan secara berperingkat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














