PERSATUAN Badminton Malaysia dijangka mengambil pendekatan lebih tegas dan tidak lagi ‘berlembut’ terhadap mana-mana pemain yang berhasrat meninggalkan badan induk itu bagi mengejar status profesional.
Langkah itu dilihat sebagai usaha melindungi pelaburan besar yang telah dibelanjakan BAM dalam membangunkan pemain sejak di peringkat awal hingga digilap menjadi pemain terbaik.
Cadangan tersebut turut disuarakan legenda badminton negara, Lee Chong Wei yang mahu badan induk itu memperketatkan syarat termasuk mewajibkan bayaran pampasan kepada pemain yang keluar dari BAM.
Presiden BAM, Tengku Zafrul Aziz berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BAM yang dijadualkan berlangsung bulan depan bersempena Kejohanan Badminton Perodua Masters.
“Dia (Chong Wei) ada pandangannya sendiri untuk memastikan pemain kita kalau ingin meninggalkan BAM perlulah membayar pampasan. Ini kerana pelaburan yang BAM keluarkan melibatkan jumlah yang besar.
“Hampir berjuta-juta jika dilihat dari mula sehingga mereka menjadi pemain profesional. Di mana-mana pun, jika memperoleh biasiswa daripada syarikat dan tak habis kerja 5 tahun ke 7 tahun memang kena bayarlah. Jadi, dari segi prinsip saya tidak ada masalah,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Menurut Zafrul, klausa berkaitan pampasan sebenarnya sudah termaktub dalam kontrak pemain, namun BAM sebelum ini mengambil pendekatan lebih bertolak ansur dalam pelaksanaannya.
Sebelum ini, terdapat kes di mana pemain yang tidak mematuhi kontrak diberikan pengecualian daripada membayar pampasan.
“Saya fikir pandangan Chong Wei adalah kita tidak sepatutnya lagi berbuat demikian. Kita perlu lebih tegas. Kita pernah berada dalam situasi di mana pemain tidak memenuhi kontrak, tetapi kita tidak menguatkuasakan klausa itu,” tambahnya.














