TEHRAN – Lebih 320 kapal tangki minyak dan gas adalah antara sekurang-kurangnya 2,190 kapal komersial yang terkandas di Teluk Arab semalam akibat sekatan Iran ke atas Selat Hormuz, demikian menurut data marin baharu seperti laporan akhbar Arab News.
Kapal-kapal yang terkandas itu termasuk 12 pengangkut gas bersaiz sangat besar dan 50 pengangkut minyak mentah bersaiz sangat besar.
Hanya enam buah kapal melintasi selat itu antara hari Selasa (kelmarin) dan Rabu (semalam), kata firma perisikan maritim Kpler, jauh di bawah kira-kira 120 kapal yang transit setiap hari pada masa aman.
Kapal-kapal yang telah melintas disalurkan di sepanjang koridor yang diluluskan oleh Iran berhampiran Pulau Larak di luar pesisirnya.
Laman berita Lloyd’s List menganggarkan sekurang-kurangnya 48 kapal menggunakan laluan itu sejak minggu lalu, kebanyakannya mempunyai kaitan dengan Iran atau negara-negara yang mengekalkan hubungan mesra dengan Tehran.
Iran mengenakan sekatan ketat di selat itu, di mana kira-kira 20 peratus daripada minyak dan gas dunia biasanya melaluinya sebelum ia diserang oleh Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu.
Pemilik kapal yang diberikan laluan menghadapi yuran sehingga AS$2 juta (RM8 juta) yang digelar ‘Tehran toll booth’ walaupun Iran menunjukkan bahawa ia mungkin mengetepikan caj sedemikian untuk kapal dari negara-negara mesra, termasuk Malaysia.
Pihak berkuasa Malaysia berkata, beberapa kapal tangki yang dimiliki oleh syarikat seperti Petronas, Sapura Energy dan MISC sedang menunggu kelulusan untuk transit, dengan Tehran memberi jaminan kepada Kuala Lumpur bahawa tiada tol akan dikenakan ke atas kapal-kapalnya ekoran hubungan dua hala yang kukuh.
Bagaimanapun, pegawai memberi amaran bahawa laluan itu mungkin tertangguh disebabkan bilangan kapal besar yang berlabuh dan menunggu kelulusan.
Segelintir kapal lain juga telah berjaya keluar, termasuk kapal tangki kendalian Greece yang membawa minyak mentah Arab Saudi menuju ke India serta beberapa pengangkut gas petroleum cecair berbendera India yang mengangkut bekalan kritikal.
Sumber perkapalan berkata, beberapa anak kapal menggunakan langkah mengelak seperti belayar pada waktu malam atau melumpuhkan transponder penjejakan untuk mengurangkan pendedahan kepada risiko termasuk periuk api, peluru berpandu dan dron.
Walaupun pergerakan itu berlaku, eksport tenaga dari pengeluar utama seperti Arab Saudi dan Qatar kekal terhenti dengan berkesan, dengan ratusan kapal dan dianggarkan 20,000 pelaut masih terkandas di dalam dan di sekitar Teluk. – AGENSI














