fbpx
MOHD. Shuhaily menyaksikan peralihan pucuk pimpinan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam antara Mohd. Nasaruddin (kanan) dan Fauzi di Bukit Kayu Hitam, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Jangan sampai saya dapat tahu ia perbuatan khianat – Mohd. Shuhaily

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Pegawai penguat kuasa di sempadan Malaysia-Thailand di sini diingatkan supaya tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak sehingga membolehkan kemasukan warga asing secara tidak sah ke negara ini.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya mengesan hantaran di media sosial mengenai kehadiran warga India di Changlun, di sini baru-baru ini.

“Kalau tuan-tuan tengok di Facebook dalam masa seminggu dua ini, mereka (warga asing) ada di Changlun, maksudnya sudah lepas lah (dari sempadan). Namun dari mana (mereka masuk) seperti ditanya tadi kita masih tidak dapat kenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kehadiran warga India di Changlun yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam hantaran tersebut, ‘pelancong’ India itu kelihatan seperti baru tiba di negara ini dengan membawa bagasi besar sebelum mengambil bas di Stesen Bas Changlun.

Susulan itu, beliau memberi amaran tegas kepada pegawainya agar tidak sesekali bersekongkol atau mengkhianati amanah diberikan.

“Perkara ini saya jadikan sebagai amaran kepada pegawai-pegawai supaya jangan sampai saya mendapat tahu ia adalah hasil perbuatan khianat seperti yang pernah saya tegur sebelum ini di Bukit Kayu Hitam ini.

“Sekiranya itu berlaku, saya mungkin terpaksa datang kerap untuk mengenal pasti siapakah pengkhianat-pengkhianat tersebut,” tegasnya.

Sementara itu, Mohd. Shuhaily berkata, AKPS turut memperketatkan kawalan di sempadan, khususnya berkaitan penyeludupan barangan bersubsidi susulan konflik di Asia Barat.

“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, namun agensi peneraju dalam menguatkuasakan perkara berkaitan barangan atau barang kawalan adalah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Kita akan bersama-sama mengambil peranan dan bekerjasama dengan KPDN bagi melaksanakan penguatkuasaan tersebut di kawasan sempadan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan peralihan pucuk pimpinan AKPS Bukit Kayu Hitam antara Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir dan Senior Asisten Komisioner Fauzi Mohd. Yusuf.

Berhubung perkembangan kes tembak yang disasarkan ke arah Mohd. Nasaruddin pada 25 Februari lalu, beliau memaklumkan bahawa perkara itu di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyiasat kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN