CALON Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu perlu ada pakej lengkap sekiranya mahu menarik ‘undi’ menjelang kongres pemilihan badan induk itu yang dijangka berlangsung pada September depan.
Pandangan itu disuarakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia, Datuk Jeffrey Low yang mahu sesiapa sahaja yang mengisi kerusi panas itu mampu menaikkan semula maruah bola sepak negara ke tahap yang lebih baik.
Kata Jeffrey, latar belakang individu yang berminat bukanlah menjadi isu, tetapi mereka perlu memiliki pengalaman dan minat dalam bola sepak selain paling utama adalah bijak mencari dana.
“Saya rasa sesiapa yang mahu dilantik menjadi presiden kena arif dalam bola sepak dan tahu peraturan terutama peraturan FIFA dan yang penting dia turut ada pengaruh besar.
“Kalau tiada pengaruh, sukar untuk mereka mencari dana besar yang diperlukan atau menarik penaja nanti.
“Namun, jika ada ahli perniagaan atau tokoh korporat diberikan jawatan presiden, tapi mereka tidak berminat pun tidak beri sebarang makna,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia, Firdaus Mohamed mengakui pihaknya masih lagi meneliti calon yang sesuai untuk dipilih menjadi ‘ketua’ di Wisma FAM, Kelana Jaya nanti.
“Kita perlukan orang yang boleh membawa masuk dana. Buat masa ini, kita (PBMM) masih menilai lagi calon-calon dan mengikut kriteria yang kita tetapkan,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan beberapa individu telah dikaitkan mengisi kekosongan tersebut termasuk golongan kerabat seperti Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.
Selain itu, tokoh korporat terkenal, Tan Sri Tony Fernandes juga turut dikhabarkan ke jawatan panas berkenaan selain nama Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.














