PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) melaksanakan Ops Pantau di seluruh negara dari 20 hingga 29 Mac lalu bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen terus diperkukuh.
JIM dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 147 lokasi pemeriksaan dan pemantauan dijalankan membabitkan 7,154 warga asing meliputi status keberadaan serta kesahihan dokumen perjalanan.
Menurutnya, seramai 223 pegawai terlibat dalam operasi berkenaan yang dilaksanakan secara berfokus berasaskan penilaian risiko selain mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan.
“Operasi ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memelihara kedaulatan negara. Ia bukan sekadar pemeriksaan, sebaliknya manifestasi keseriusan jabatan dalam menegakkan undang-undang imigresen secara konsisten dan berintegriti,” katanya, hari ini.
Tambahnya, pendekatan berhemah turut diambil dengan mengambil kira sensitiviti musim perayaan, menghormati norma dan budaya setempat serta mengurangkan kegusaran orang awam di lokasi tumpuan. – KOSMO! ONLINE














