MELAKA – Tidak pernah diletakkan dalam senarai pelajar harapan oleh guru, seorang anak pekebun sawit membuktikan kemampuan luar biasa apabila berjaya meraih keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Pelajar Sekolah Menengah Sains Alor Gajah, Iskandar Zulkarnain Mohd. Kamarol, 17, mengakui kejayaan itu di luar jangkaannya selepas hanya memperoleh 3A dalam peperiksaan percubaan, malah gagal dalam subjek Matematik Tambahan.
Katanya, perubahan drastik berlaku apabila dia mula menggandakan usaha dalam tempoh kira-kira sebulan sebelum peperiksaan sebenar.
“Saya sendiri tak sangka boleh dapat 9A kerana masa percubaan dulu, Matematik Tambahan pun gagal dan cuma dapat 3A sahaja.
“Saya tekad ubah keputusan, jadi saya belajar sendiri di tempat sunyi, tidur sekejap dan sambung belajar sampai awal pagi,” katanya ketika ditemui media di sekolah itu hari ini.
Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, dia sanggup mengorbankan waktu tidur dengan belajar sehingga pukul 3 pagi sebelum bangun semula pada pukul 5 pagi demi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 7A.
Tambahnya, perasaan ‘cemburu’ melihat rakan-rakan memperoleh keputusan baik menjadi pencetus semangat untuk bangkit dan berusaha lebih keras.- KOSMO! ONLINE














