PETALING JAYA – Penduduk di kawasan Teluk Panglima Garang dan Jalan Kebun di Klang diminta lebih berwaspada susulan dakwaan kemunculan pasangan lelaki dan wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri bungkusan barang.
Menerusi satu hantaran tular di media sosial @Awinrzk, dia mendakwa kawasan perumahannya telah dimasuki individu disyaki pencuri dengan memuat naik beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kegiatan tersebut.
Dalam video itu, kelihatan pasangan terbabit dilihat menaiki skuter berwarna kuning sebelum berhenti di hadapan sebuah rumah.
Kemudian, salah seorang individu berpakaian merah dan bertopi keledar dipercayai turun daripada motosikal lalu bergerak memasuki pekarangan rumah, manakala seorang lagi menunggu di atas skuter tersebut di luar pagar.
Tidak lama selepas itu, individu berkenaan melarikan bungkusan pos diluar rumah berkenaan sebelum memecut laju bersama pasangannya.
“Area (kawasan) rumah saya dah ada pencuri. Skuter kuning, laki bini buat kerja haram. Sekita kawasan Teluk Panglima Garang/Jalan Kebun. Patutlah sejak kebelakangan ni bungkusan kami selalu hilang.
“Sesiapa yang cam boleh maklumkan. Harap hantaran ini tular,” tulis pemilik hantaran tersebut.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya menasihatkan penduduk setempat supaya sentiasa mengunci pagar dan pintu rumah selain memasang sistem keselamatan tambahan.
“Memang pencuri bungkusan ni memang sentiasa ada. Jadi janganlah biarkan pagar terbuka. Sebab mengundang kegiatan macam ni,” komen Miz.
“Macam dah lama perhati je ni tengok mana bungkusan yang besar-besar. Agaknya hari-hari tunggu situ,” komen Fadha.
“Macam dah biasa buat dah ni. Tengok gaya dia buat masa orang bekerja dari pukul 10 hingga pukul 12,” komen Irfan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














