fbpx
Anak-anak Roshayu menghabiskan masa dengan bermandi-manda di Sungai Ketil, Kampung Lubuk Pedati, Baling ketika cuaca panas di daerah itu mencecah 37 darjah Celcius.

‘Kalau boleh hari-hari mahu mandi sungai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Cuaca panas melampau­ mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius yang melanda beberapa daerah di negeri ini dan Perlis menyebabkan orang ramai terpaksa mencari lokasi ‘terbaik’ untuk berteduh dan menyejukkan badan.

Sebagai pilihan, ramai dalam kalangan penduduk termasuk pengunjung luar memilih untuk mengunjungi kawasan sungai untuk mandi bersama ahli keluarga masing-masing.

Pengunjung dari Kuantan, Pahang, Roshayu Zakaria, 39, berkata, cuaca di Baling diakui memang agak panas menyebabkan dia kerap membawa ahli keluarga untuk mandi di Sungai Ketil.

“Saya balik beraya di rumah ibu mertua beberapa hari lalu, cuacanya memang panas membahang, ini kali ke dua saya bawa anak-anak ke Sungai Ketil di Kampung Lubuk Pedati ini untuk mandi dan sejukkan badan.

“Kalau di rumah, memang akan rasa tidak selesa kerana panas dan kalau ikutkan, hari-hari kami mahu mandi sungai,” katanya.

Menurut beliau, cuaca di Kuantan juga panas, namun ke­rap berlaku hujan terutama pada sebelah malam menyebabkan bahangnya tidak begitu terasa.

“Di Baling kali ini sangat berbeza. Sebelum ini kalau waktu malam memang sejuk dan selesa tidur, tetapi kali ini agak pelik sikit panasnya.

“Memang sangat berbeza sehingga angin kipas pun rasa panas,” katanya.

Pengunjung dari Sungai Petani, Rahmat Ali, 65, pula mengakui keadaan cuaca panas se­hingga 40 darjah Celcius di Sungai Petani menyebabkan dia membawa ahli keluarga termasuk cucu-cucunya ke sungai untuk sejukkan badan.

“Saya bawa keluarga balik ke sini kerana cuacanya agak sejuk berbanding Sungai Petani. Di sini banyak pokok-pokok hijau dan gunung yang boleh stabilkan sedikit cuaca panas sekarang.

“Warga emas seperti saya memang kena berjaga-jaga agar tidak terdedah kepada cuaca panas kerana saya pernah terkena strok haba dua tahun lalu,” kata Rahmat.

Menurutnya lagi, situasi strok haba memang bahaya kerana boleh membuatkan seseorang itu terus jatuh pengsan.

“Disebabkan itu, saya nasihatkan ahli keluarga agar tidak terdedah terlalu lama kepada cuaca panas.

“Cara terbaik adalah dengan mengunjungi kawasan sejuk se­perti sungai untuk berehat dan hilangkan rasa panas,” katanya.

Terdahulu, sebanyak tujuh kawasan di Semenanjung Malaysia kini berada pada Tahap 2 (Gelombang Haba) apabila mencatatkan suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kawasan yang terlibat merangkumi seluruh negeri Perlis, lima daerah di Kedah iaitu Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Sik dan Baling, serta Hulu Perak di Perak.

“Sementara itu, sebanyak 13 kawasan lain di Semenanjung pula dilaporkan berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga) dengan suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh yang sama,” lapor MetMalaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN