TRAUMA luka pembedahan bersalin anak ketiga perlu dijahit semula, penyanyi Ayda Jebat mengakui tetap terbuka andai masih diberikan rezeki menambah cahaya mata pada masa depan.
Mengakui faktor ekonomi kadangkala membuatkan pasangan suami isteri terpaksa merancang keluarga, perkara tersebut juga pernah terlintas dalam fikirannya.
Malah pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat, 33, itu juga enggan terikut-ikut tindakan segelintir selebriti lain yang tidak mahu hamil lagi selepas melahirkan tiga anak.
Ini kerana Ayda serta suaminya juga pengacara, Nabil Mahir percaya setiap anak mempunyai rezeki masing-masing.
“Soal mahu atau tidak mahu anak lagi itu sangat subjektif. Saya tak boleh kata keputusan pasangan yang enggan timang anak lagi sebagai salah. Mereka tentu ada sebab tersendiri.
“Ikutkan saya, semuanya berbalik kepada Allah. Jika diberikan lagi rezeki saya tidak tolak. Kita pun ada minta pandangan doktor lepas nombor tiga ini macam mana?
“Apabila doktor kata saya masih muda dan sihat selain tiada komplikasi ketika hamil maknanya kami boleh besarkan keluarga lagi, cuma bukan dalam beberapa tahun ini. Saya masih trauma luka pembedahan dijahit semula,” katanya.
Ditanya lagi berkenaan isu pejuang garis satu atau ibu yang enggan lagi mengandung, jelas Ayda setiap perkara mahupun keputusan mempunyai alasan tersendiri.
“Tidak kira pejuang garis satu atau pejuang garis dua (berusaha untuk hamil), saya hormati kedua-dua pihak,” katanya.
Berkongsi lebih lanjut mengenai keadaannya sebelum ini yang terpaksa dimasukkan semula ke hospital, pelakon drama Mandul Bukan Pilihan itu mengakui pada awalnya berasa kurang selesa pada bahagian perutnya selepas seminggu bersalin.
“Mungkin sebab saya lasak yang membuatkan jahitan tetas. Selepas beberapa hari pula berlakunya jangkitan kuman. Saya serah diri ke hospital.
“Alhamdulillah, kesihatan kini semakin okey berkat sokongan suami, keluarga serta orang sekeliling. Dapatlah saya lalui tempoh berehat bersama baby dengan tenang,” ujarnya.
Turun padang
Begitupun, menurutnya selepas itu dia tetap ‘turun padang’ menjayakan kempen promosi Pentas Raya Glam Watsons ke beberapa lokasi terpilih.
Memahami kebimbangan ramai terhadap dirinya yang masih dalam pantang ketika itu, Ayda berkata, dia hanya duduk di kerusi roda sepanjang aktiviti bertemu peminat itu selain terus pulang sebaik acara selesai.
“Syukur semuanya dipermudahkan. Suami sentiasa menemani saya, malah banyak membantu. Kiranya dengan restu suami juga saya kotakan janji bertemu orang ramai,” katanya.
Selain Anggun Mikayla yang dilahirkan pada 26 Januari lalu, rumah tangga yang didirikan sejak enam tahun lalu turut meriah dengan telatah dua lagi permata hati mereka iaitu Ana Nayla dan Aali Mateen.
“Raya tahun ini keluarga kami semakin membesar tetapi disebabkan saya juga baru habis berpantang, kita bersederhana sahaja.
“Cuma persediaan untuk anak-anak memang kami utamakan. Baju kena sedondon yang saya pilih serta siapkan sebelum bersalin,” katanya yang menyambut hari raya di Kuala Lumpur.














