fbpx
KHAMALIAH (kiri) menanggung sakit kanser payudara ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kinjang, Chenderiang di Tapah baru-baru ini.

‘Nak suap nasi pun rasa sakit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAH – Kehidupan seorang ibu tunggal tersentak setelah dia disahkan menghidap penyakit kanser payudara tahap empat kira-kira tujuh bulan lalu.

Kata Khamaliah Ramli, 47, sebelum ini dia mampu menyara dirinya tanpa mengharapkan bantuan sesiapa dengan bekerja sebagai pekerja am di sebuah hotel di Sungkai, Tanjung Malim.

“Tiba-tiba saya rasa pelik kerana sering penat walaupun buat apa-apa kerja-kerja berat selain badan sering lenguh-lenguh dan sering pening, rupa-rupanya ia petanda menghidap penyakit kronik.

“Saya kini terpaksa berhenti kerja, tidak boleh melakukan kerja-kerja seharian seperti memasak dan mengemas rumah selain banyak menghabiskan masa de­ngan duduk di kerusi selain berbaring di atas katil. Nak suap nasi sekalipun terasa amat sukar,” katanya ketika ditemui di Kampung Kinjang, Chenderiang di Tapah baru-baru ini.

Kata Khamaliah, dia runsing dengan perbelanjaan hariannya termasuk kos rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Saya perlu menjalani pemeriksaan berkala dua kali sebulan di hospital tersebut yang melibatkan perbelanjaan minyak kenderaan dan yang lain.

“Mujur saya menetap di rumah peninggalan arwah ibu jadi tidak perlu membayar sewa tetapi anak tunggal perempuan hanya bekerja kantin sekolah dengan gaji tidak seberapa selain menantu hanya seorang pengawal keselamatan yang perlu menanggung ibu kandungnya. Kami berempat duduk di rumah yang sama,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini, dia hanya menerima pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM1,070 sebulan selain bantuan secara berkala berbentuk kotak makanan serta beras lima kilogram (kg) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk)

“Saya reda diuji dengan pe­nyakit ini termasuk telah berpisah dengan suami lebih 11 tahun lalu kerana masalah peribadi lain.

“Cuma, amat berharap sekiranya ada bantuan bulanan lain untuk mengurangkan kos kehidupan semasa selain kerusi roda untuk memudahkan pergerakan seharian,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0810041000095373 atas nama Khamaliah Ramli atau menghubungi anaknya, Noor Syafiqah Darmadi di talian 018-570 9265.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN