SHAH ALAM – Kerajaan bersedia melaksanakan pembenihan awan di seluruh negara bagi menangani fenomena cuaca panas ekstrem yang melanda ketika ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu akan dilaksanakan bergantung kepada data serta laporan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Menurutnya, keadaan cuaca di Malaysia masih terkawal meskipun berdepan suhu lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
“Untuk melakukan pembenihan awan, kita memerlukan data dan laporan daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebelum ia dilaksanakan,” katanya selepas program Pendanaan Konservasi Hutan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan memperkenalkan mekanisme amaran awal kepada agensi kerajaan berkaitan sekiranya negara dijangka berdepan cuaca panas, beberapa hari sebelum fenomena itu berlaku.
“Kita akan salurkan maklumat ini kepada agensi seperti Jabatan Pertanian dan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) yang terlibat dengan hal cuaca ini. Selain jabatan, amaran awal ini akan diberikan kepada rakyat Malaysia supaya mereka juga buat persediaan,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan fenomena cuaca panas dijangka berlaku sehingga bulan Jun ini dengan Perlis, Kedah dan Perak mencatatkan suhu panas sehingga mencecah 37 darjah Celcius. – KOSMO! ONLINE














