fbpx
Ahmad Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap isterinya, Marissa Dania Hakim sebanyak dua kali di luar mahkamah sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza. Foto ISKANDAR ISHAK

Aslam sudah dua kali lafaz cerai dan rujuk – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Ahmad Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap isterinya, Marissa Dania Hakim sebanyak dua kali di luar mahkamah sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza.

Peguam syarie mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri berkata, lafaz cerai pertama berlaku sekitar September 2024 sebelum pasangan itu kembali rujuk pada bulan sama manakala, lafaz kedua pula dibuat pada April 2025 dan diikuti rujuk semula pada Jun 2025.

“Dakwaan mengatakan Aslam memfailkan cerai tidak tepat. Beliau hanya memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk.

“Apabila disebut pengesahan, bermaksud lafaz cerai dan rujuk sudah berlaku di luar mahkamah dan perlu disahkan di hadapan hakim bagi menentukan kesahihannya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah Yaser, permohonan tersebut difailkan pada 10 Mac 2026, beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

Katanya, prosiding hari ini penting bagi menentukan status sebenar hubungan pasangan itu sama ada masih sah sebagai suami isteri atau sebaliknya.

“Mudahnya, memang sudah ada lafaz cerai dan juga lafaz rujuk. Jadi sekarang kita mohon pengesahan di hadapan hakim.

“Sama ada lafaz itu sah atau tidak, kita tunggu keputusan mahkamah,” ujarnya ketika ditemui pada prosiding lafaz cerai dan rujuk pasangan terbabit, di sini, hari ini.

Kes tersebut didengar di hadapan Hakim Syarie, Nadia Khamis.

Dalam pada itu Muhammad Ammar Yaser juga, berkata isu perceraian dan rujuk pasangan itu juga akan sedikit rumit memandangkan mereka masih belum memperoleh sijil nikah kerana bernikah di Thailand.

Sehingga kini katanya, proses pendaftaran pernikahan di Malaysia masih belum selesai sepenuhnya.

“Cuma untuk makluman semua, apabila kita bernikah di Thailand, ini yang kita kena hadapi.

“Untuk failkan apa-apa kes selepas daripada pengesahan nikah mesti dapatkan sijil pernikahan.

“Bagi mendapatkan sijil pernikahan ada beberapa perkara yang diperlukan antaranya mesti selesai proses pendakwaan dan penguatkuasaan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Yaser turut menasihatkan pasangan berkahwin agar mematuhi prosedur undang-undang bagi mengelakkan komplikasi pada masa hadapan.

“Kalau mahu bernikah, lakukan mengikut saluran betul. Datang ke mahkamah dan buat permohonan secara sah.

“Apabila cuba menyembunyikan sesuatu atau tidak ikut prosedur, perkara itu akan menyulitkan keadaan kemudian hari,” tuturnya.

Terdahulu, Aslam atau nama sebenarnya Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 27, dilihat tiba bersama Marissa di mahkamah sekitar pukul 11 pagi dengan mengenakan busana sedondon, namun kedua-duanya memilih untuk tidak mengulas lanjut.

Untuk rekod, kisah Aslam dan Marissa sebelum ini mencetuskan perhatian ramai selepas dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.

Pernikahan tersebut dikatakan berlangsung ketika isteri pertama Aslam, Misya Mazlan sedang menunaikan umrah selain didakwa tanpa pengetahuan keluarga Marissa termasuk ibu bapanya, pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi.

Pada Mei 2025, pasangan itu hadir ke mahkamah sama bagi tujuan pengesahan perkahwinan, namun proses pendaftaran serta penguatkuasaan masih belum selesai sehingga kini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN