KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mempertimbangkan penyediaan kawasan khas bermain bunga api pada musim perayaan bagi mengelak insiden orang awam tercedera terkena percikan bahan api itu berulang masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, banyak aduan berhubung ancaman keselamatan dan gangguan ketenteraman awam akibat permainan bunga api telah diterima berikutan musim perayaan Aidilfitri ini.
“Kita menerima banyak aduan berhubung bunga api dimain di tempat awam termasuk berhampiran hospital, rumah ibadat dan penempatan penduduk.
“Justeru, kita akan meneliti cadangan untuk mengenal pasti kawasan lapang yang sesuai untuk aktiviti tersebut selain mengehadkan jenis bunga api yang boleh dijual,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, perbuatan segelintir individu bermain bunga api sewenang-wenang di kawasan tumpuan ramai seperti Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan Pantai Batu Burok di sini mencetuskan rungutan ramai.- KOSMO ONLINE














