SHAH ALAM – Aksi berbahaya melepaskan mercun dari ‘sunroof’ kereta yang tular di media sosial akhirnya membawa padah apabila empat individu ditahan selepas diburu polis susulan kejadian di Elmina Rainforest, Seksyen U15, di sini.
Kesemua suspek tempatan berusia 21 hingga 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.30 petang semalam sekitar Sungai Buloh dan Seksyen 9, di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, penahanan dibuat hasil maklumat dan risikan selepas rakaman aksi berbahaya itu tersebar luas di media sosial.
“Polis merampas sebuah kereta Proton Satria, beberapa telefon bimbit serta sebatang mercun yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Semua suspek direman tiga hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan,” katanya petang ini.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang lelaki diburu polis selepas tular bermain mercun secara merbahaya dari dalam sebuah kereta yang sedang bergerak.
Kejadian berlaku pada waktu malam dan suspek melepaskan beberapa das tembakan mercun ke udara ketika sedang berdiri melalui cermin ‘sunroof’ dengan kereta itu dipercayai dipandu individu lain. – KOSMO! ONLINE














