BUENOS AIRES – Aura Lionel Messi gagal menghadirkan impak besar buat Argentina yang meraih kemenangan 2-1 ke atas Mauritania pada aksi persahabatan pagi semalam.
Bintang kelab Amerika Syarikat, Inter Miami itu mendapat sorakan gemuruh daripada peminat ketika dimasukkan pada babak kedua, namun tidak mampu menghasilkan sumbangan besar termasuk meledak jaringan tambahan buat pasukan.
“Pada perlawanan kali ini, kami gagal menepati jangkaan kerana tidak dapat bermain dengan baik dan bagi saya ini adalah perkara yang bagus untuk saya zahirkan. Kami perlu terus bekerja dan baiki kelemahan,” kata pengendali Argentina, Lionel Scaloni.
Pada perlawanan ini, Enzo Fernandez dan Nico Paz menghasilkan jaringan buat Argentina, manakala gol tunggal Mauritania diledak oleh Jordan Lefort, namun ia cukup bermakna buat pelawat yang hadir sebagai pasukan di ranking 115 dunia.
Scaloni juga menjelaskan persoalan tentang kedudukan Messi dalam pasukan pada Piala Dunia 2026 nanti akan ditentukan oleh pemain itu sendiri, namun tetap berharap Messi akan dapat sertai La Albiceleste.
“Soalan ini lebih kepada dirinya, tetapi kamu sendiri tahu apa yang saya fikirkan. Saya akan lakukan apa yang saya mampu untuk pastikan dia berada dalam pasukan, demi bola sepak, namun bukan saya yang akan menentukan.
“Terserah kepadanya, bagaimana dia fikirkan dan bagaimana keadaan fizikalnya. Pastinya sukar (tanpa kelibat Messi), bukan buat rakyat Argentina sebaliknya semua orang mahu saksikan dia beraksi,” katanya. – AGENSI














