KEMATANGAN pemain bakal menjadi aset penting buat Harimau Malaya dalam mengharungi persiapan sebelum menghadapi Vietnam pada perlawanan terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia, Selasa ini.
Mengambil kira isu yang sedang membelenggu arena bola sepak negara ketika ini, cabaran pemain pastinya lebih tertumpu kepada usaha untuk ‘butakan mata’ dan ‘pekakkan telinga’ bagi mengelak masalah luar padang memberi impak negatif.
Pengendali kebangsaan, Peter Cklamovski menegaskan tiada apa yang mampu mengubah perkara yang berlaku sebaliknya seluruh pasukan perlu menjadikan kekecewaan sebagai suntikan semangat untuk jadi lebih baik.
“Itulah keindahan bola sepak yang mengajar banyak perkara kepada kita. Apabila kita bercakap tentang pemotongan mata, ia amat mengecewakan pemain, kakitangan pasukan dan juga negara. Ia ‘dirampas’ oleh perkara yang kami tidak boleh kawal.
“Kami akan gunakan emosi itu untuk membina dan menjadikan kem kali ini lancar, penuh bertenaga dan menyasarkan untuk bermain bola sepak sehabis baik. Inilah keindahannya dan ini juga peluang yang menanti kami selepas ini.
“Apa yang pemain perlu lakukan? Mereka kena terus bermain baik, berlatih dengan gigih bagi mengangkat mereka ke tahap lebih baik sekali gus berada dalam senarai pemilihan,” katanya.
Sebelum ini, harapan Harimau Malaya untuk layak ke Piala Asia 2027 lebur selepas Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) buat keputusan potong enam mata.
Ia membabitkan dua Kumpulan F menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 25 Mac 2025 dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025.
“Kami bersedia untuk apa saja dan menanti cabaran selepas ini yang pastinya agak sukar. Tidak pasti bila kali terakhir Malaysia tewaskan Vietnam di tempat mereka namun inilah cabarannya dan kami akan hadapinya dengan penuh bertenaga,” katanya.














