JAKARTA – Seorang lelaki di Indonesia mengundang perhatian pengguna media sosial kerana memakai pakaian sama selama 10 tahun setiap kali perayaan Aidilfitri, lapor portal berita Wolipop.
Lelaki tersebut bernama Akhsan Nurkholish.
Imej dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @akhsannurkholish menunjukkan Akhsan mengenakan kurta berwarna putih yang sama sejak 2016 hingga tahun ini.
Menurut Akhsan, keupayaan untuk memastikan pakaiannya kekal boleh dipakai selama sedekad merupakan satu dedikasi.
Dia ingin membuktikan bahawa sifat ‘cool’ bukan terletak pada sikap mengejar trend, sebaliknya terletak pada keberanian dan keyakinan untuk menjadi diri sendiri.
Hantaran itu mencatatkan lebih 76,000 tanda suka dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Baju pun setia, apatah lagi yang lain,” kata seorang netizen.
“Sederhana tetapi wanita tidak mampu ikut,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














