fbpx
BAGI Hun, perbincangan mahupun pertanyaan perihal jodoh bukan tekanan, sebaliknya ruang berkongsi pandangan sesama sanak saudara.

‘Kahwin? Mereka tanya bukan menyibuk tetapi cakna’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sebalik kemilau dunia hiburan, ada saat setiap selebriti mendambakan ruang sunyi untuk kembali memeluk diri sendiri.

Bagi pelakon Hun Haqeem, bumi kelahirannya di Sarawak menjadi tempat paling menenangkan seolah-olah pelabuhan emosi selepas lama belayar dalam lautan populariti.

Baru beberapa hari kembali ke ibu kota selepas seminggu berada di kampung halaman, Hun mengakui Aidilfitri kali ini terasa istimewa.

Meskipun pulang agak lewat kerana menghadiri majlis perkahwinan rakan di Semenanjung, perjalanan pulang ke Bumi Kenyalang tetap membawa rasa damai sukar digambarkan.

Ujar pemilik nama sebenar Haqeem Hermy itu, Sarawak memberi ruang luas untuk dirinya menjadi insan biasa tanpa tekanan populariti.

“Memang ada peminat, tetapi saya rasa orang Sarawak sangat santai. Mereka menghormati ruang peribadi.

“Contohnya, kalau saya duduk di kafe, mereka tidak terus datang. Biasanya mereka tunggu saya bangun dahulu, barulah minta bergambar.

“Pendek kata, orang Sarawak sangat ‘chill’. Mereka beri saya masa untuk benar-benar berehat,” katanya kepada HibGlam.

Sepanjang seminggu berada di sana, jejaka berusia 28 tahun itu mengakui suasana kampung memberi peluang menikmati detik tenang bersama keluarga, sesuatu sukar diraih ketika jadual kerja padat di Semenanjung.

Jodoh

Enggan mensia-siakan peluang bertemu empat mata dengan bintang drama Kampung People itu, penulis sempat bertanya sama ada keluarga turut mengajukan soalan sensitif tentang masa depan hidupnya.

Hun tidak menafikan perkara tersebut, namun menyifatkan pertanyaan keluarga hadir daripada rasa sayang, bukannya tekanan.

“Sudah tentu mereka bertanya. Keluarga saya sangat penyayang dan sentiasa mahu tahu keadaan saya. Saya tidak juga sentap dengan pertanyaan sedemikian.

“Mereka bukan bertanya kerana ingin menyibuk, tetapi cakna selain mahu memastikan saya bersedia menghadapi fasa baharu dalam hidup.

“Perkara pertama mereka tanya ialah keadaan mental saya. Mereka mahu tahu sama ada saya benar-benar bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya,” ujarnya.

Paling penting kata pelakon berdarah campuran Melayu-Cina itu, soal perkahwinan bukan perkara perlu tergesa-gesa, apatah lagi dalam dunia moden penuh cabaran.

“Bagi saya, tiada masalah pun bercakap tentang kahwin. Cuma dalam zaman sekarang, ramai melihat perkahwinan sebagai satu keperluan untuk cepat bahagia.

“Namun bagi saya, biarlah doa-doa baik sahaja mengiringi perjalanan hidup,” luahnya.

Ditanya sama ada sedang mencari pasangan hidup atau sekadar menunggu takdir menemukan seseorang, Hun mengambil pendekatan lebih santai.

“Sejujurnya saya tidak terlalu mencari. Saya lebih kepada biarkan sahaja masa menentukan segalanya.

“Kahwin sebenarnya bergantung kepada diri sendiri, sama ada berkahwin kerana tekanan, kerana benar-benar mahu atau kerana desakan keluarga.

“Jadi sesiapa pun perlu tanya diri sendiri, mengapa mahu berkahwin? Tiada jawapan betul atau salah.

“Setiap orang berkahwin atas sebab berbeza dan semua perasaan itu wajar dihormati,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Hun kini sedang sibuk dengan beberapa penggambaran drama dan filem selain bakal muncul dengan single terbaharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN