fbpx
AKSI Trump sebelum berucap pada Sidang Kemuncak FII PRIORITY di Miami semalam. – AFP

Iran mesti buka semula ‘Selat Trump’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Presiden Donald Trump menegaskan semalam bahawa Iran mesti membuka semula Selat Hormuz kepada kapal-kapal tangki untuk mencapai perjanjian damai dan menggelar laluan air kritikal itu sebagai ‘Selat Trump’.

Trump yang menamakan semula beberapa bangunan di Washington sempena nama sendiri semasa penggal kedua pemerintahannya  berkata, komennya adalah satu ‘kesilapan, tetapi menambah ‘ia(komen beliau) bukan satu kebetulan’.

Mengulangi dakwaan Iran bersedia untuk membuat perjanjian walaupun Tehran menafikannya, pemimpin Amerika Syarikat berusia 79 tahun itu berkata, rundingan sedang dilakukan untuk menamatkan perang Asia Barat yang berlarutan selama sebulan.

Menurutnya, kepimpinan, tentera laut, tentera udara, dan program nuklear Tehran semuanya mengalami kerosakan yang ketara.

“Kami sedang berunding sekarang, dan adalah bagus jika kami boleh melakukan sesuatu, tetapi mereka perlu membukanya (Selat Hormuz),” kata Trump pada forum pelaburan FII Priority yang disokong Arab Saudi di Miami.

“Mereka perlu membuka Selat Trump, maksud saya Selat Hormuz. Maafkan saya, saya minta maaf. Kesilapan yang teruk,” katanya.

Trump berkata, media akan menyerang komen itu tetapi kemudian menambah ‘Tiada apa yang silap dengan diri saya, tidak terlalu banyak.’

Presiden AS itu juga bercakap tentang bagaimana beliau mengarahkan penamaan semula Teluk Mexico sebagai ‘Teluk Amerika’  sejurus selepas kembali berkuasa.

Semasa mesyuarat Kabinet kelmarin, Trump berkata ia adalah ‘pilihan’ untuk mengambil alih kawalan minyak Iran seperti yang dilakukan Washington terhadap Venezuela walaupun hakikatnya, perang masih berterusan.

Trump pernah membuat komen mengusik serupa sebelum menamakan semula pusat seni Kennedy di Washington sebagai ‘Pusat Trump-Kennedy’.

Sebuah institut keamanan di Washington juga dinamakan semula sempena nama Trump tahun lalu.

Selat Hormuz dibuka kepada perkapalan antarabangsa sebelum konflik bermula, tetapi laluan air sempit itu terhenti sepenuhnya susulan sekatan Tehran, menyebabkan harga tenaga global melonjak.

Terdahulu semalam, Setiausaha Negara AS Marco Rubio menyuarakan kebimbangan bahawa Iran akan berusaha untuk mewujudkan ‘sistem tol’ kekal untuk kapal-kapal di Selat Hormuz yang menjadi laluan satu perlima bekalan minyak dunia. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN