PETALING JAYA – Sebanyak tujuh kawasan di Semenanjung Malaysia kini berada pada Tahap 2 (Gelombang Haba) apabila mencatatkan suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kawasan yang terlibat merangkumi seluruh negeri Perlis, lima daerah di Kedah iaitu Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Sik dan Baling, serta Hulu Perak di Perak.
“Sementara itu, sebanyak 13 kawasan lain di Semenanjung pula dilaporkan berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga) dengan suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh yang sama,” lapor MetMalaysia.
Kawasan Tahap 1 tersebut melibatkan tujuh daerah di Kedah iaitu Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
Turut terlibat adalah kawasan Timur Laut dan Utara (Pulau Pinang), manakala di Perak melibatkan Kinta, Kuala Kangsar serta Perak Tengah dan Jerantut (Pahang).
Orang ramai dinasihatkan untuk merujuk maklumat terkini status cuaca panas harian di laman web rasmi MetMalaysia bagi langkah berjaga-jaga. – KOSMO! ONLINE














