KUALA TERENGGANU – Hajat seorang wanita warga emas untuk meraih keuntungan berganda bukan sahaja lebur malah turut kerugian RM96,000 akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Pesara berusia 63 tahun itu yang menyedari tertipu telah membuat laporan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 8.30 petang semalam.
Sebahagian modal pelaburan yang lesap itu merupakan wang pencen wanita warga emas berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, wanita terbabit ditawarkan skim pelaburan tersebut menerusi aplikasi WhatsApp pada tahun 2022.
“Mangsa yang tertarik dengan skim pelaburan tersebut telah menyertainya dan membuat pelaburan sehingga 14 Mac lalu.
“Keseluruhan modal pelaburan dilakulan berjumlah keseluruhan RM96,000,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, pesara tersebut telah melakukan 50 transaksi ke dalam 15 akaun bank diberi suspek.
Beliau berkata, wanita itu hanya menyedari tertipu apabila masih tidak mendapat pulangan dijanjikan biarpun sudah hampir empat tahun membuat pelaburan. – KOSMO! ONLINE














