KUALA LUMPUR – Polis menerima tiga laporan berhubung video tular yang mengaitkan ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan dengan dakwaan meminta wang perlindungan daripada sebuah pusat urut di Wangsa Maju.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini, tiga laporan telah diterima dan kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengarahkan satu laporan polis dibuat berhubung dakwaan ahli MPP Wilayah Persekutuan meminta wang perlindungan dari sebuah pusat urut di Wangsa Maju.
Beliau turut mengarahkan siasatan dimulakan serta-merta susulan penularan video berkenaan.
Terdahulu, tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kehadiran dua lelaki memperkenalkan diri sebagai ahli MPP meminta wang daripada sebuah pusat urut.
Difahamkan, wang itu sebagai perlindungan daripada sebarang tindakan penutupan premis berikutan terdapat aduan penduduk. – KOSMO! ONLINE














