PETALING JAYA – Isu kesihatan mental terus menjadi perhatian apabila masih ramai dalam kalangan masyarakat yang keliru membezakan antara kemurungan klinikal (depression) dan keletihan melampau akibat tekanan kerja (burnout).
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook oleh Public Health Malaysia (PHM), orang ramai diingatkan supaya tidak membuat diagnosis sendiri atau ‘self-diagnose’ tanpa penilaian daripada pakar.
“Jangan cepat melabel diri sendiri ada depression. Tidak semua rasa sedih dan tertekan itu adalah penyakit mental,” jelasnya.
Dalam masa sama, orang ramai juga diingatkan supaya tidak ‘self-dismiss’ atau menafikan keadaan diri sekiranya simptom yang dialami semakin serius.
PHM menjelaskan, burnout lazimnya berpunca daripada tekanan kerja berpanjangan, beban tugas yang tinggi serta keletihan fizikal dan emosi.
Keadaan itu bagaimanapun boleh bertambah baik sekiranya individu mengambil masa untuk berehat, bercuti atau mengubah rutin harian mereka.
Sebaliknya, kemurungan klinikal merupakan gangguan kesihatan mental yang lebih serius dan tidak boleh dipulihkan hanya dengan rehat semata-mata.
“Pesakit depression memerlukan penilaian profesional, sesi terapi serta rawatan ubat yang berjadual, dan tidak boleh disamakan dengan individu yang sekadar mengalami burnout,” kata PHM.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat diagnosis sendiri dan segera mendapatkan bantuan pakar sekiranya simptom berpanjangan serta menjejaskan kehidupan harian bagi mengelakkan salah faham dan stigma terhadap pesakit mental klinikal. – KOSMO! ONLINE














