PETALING JAYA – Seorang penunggang motosikal berdepan detik cemas apabila terjatuh selepas dipercayai hilang kawalan akibat permukaan jalan yang tidak rata gara-gara selepas diturap dalam satu kejadian yang tular di media sosial.
Menerusi satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 26 saat, kejadian itu memaparkan seorang penghantar makanan yang sedang melalui satu selekoh sebelum motosikalnya tiba-tiba tergelincir lalu menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan.
Dalam perkongsian oleh akaun Facebook, MUSC Motorsports, kejadian dikatakan berlaku di Jalan Sungai Merab, Bangi, Selangor pada 24 Mac lalu kira-kira pukul 6.30 petang.
“Kronologi, sebuah motosikal sedang bergerak seperti biasa di atas jalan raya. Motosikal melalui satu kawasan jalan yang telah ditampal namun tidak rata. Permukaan jalan yang tidak rata menyebabkan motosikal hilang keseimbangan.
“Penunggang kemudian terbabas dan tercampak keluar dari motosikal. Kenderaan di belakang yang mempunyai dashcam sempat berhenti bagi mengelakkan pelanggaran kedua,” katanya.
Melihat pada video lain dikongsikan pemilik akaun itu, penghantar makanan terlibat mengalami kecederaan dan luka pada bahagian muka, tangan serta kaki.
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan jalan raya terutamanya di kawasan yang baru selesai kerja penurapan namun tidak diletakkan papan tanda amaran secukupnya.
Seorang pengguna berkata, kontraktor sepatutnya lebih peka dengan aspek keselamatan pengguna jalan raya dengan memastikan permukaan jalan benar-benar selamat sebelum dibuka kepada orang ramai.
“Kalau jalan masih tak sesuai, turap jalan jadi berbonggol, macam tampal kain koyak ja, jangan buka dulu. Bahaya kepada penunggang motosikal terutama waktu malam,” katanya.
“Nasib ada bukti video, moga dipermudahkan urusan rider tersebut,” kata Saya Ogy.
“Mohon JKR (Jabatan Kerja Raya) ambil maklum, tiada pemeriksaan ke lepas turap jalan oleh kontraktor,” soal Sang Kucha. – KOSMO! ONLINE














