TEKANAN berdepan Thailand semakin dirasai skuad sepak takraw lelaki negara menjelang aksi Piala Dunia Sepak Takraw, namun itu tidak menghalang mereka untuk terus memburu prestasi terbaik.
Tekong utama skuad sepak takraw kebangsaan, Muhammad Syahir Rosdi mengakui cabaran untuk mengekalkan momentum kemenangan selepas kejayaan di pentas Sukan SEA Thailand 2026 bukan sesuatu yang mudah.
“Untuk mengekalkan itu memang sukar, tetapi kami ambil cabaran itu. Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), memang suka cabaran seperti ini untuk uji atlet dan persatuan,” katanya.
Menurut pemain berusia 30 tahun itu, Thailand kini dilihat semakin agresif dalam usaha merampas semula dominasi mereka, sekali gus meningkatkan tekanan kepada skuad negara.
“Kalau tengok Thailand sekarang, mereka sedang mengkaji dan berusaha untuk kembalikan momentum. Jadi kami pemain kena kerja lebih keras untuk kekalkan atau beri lebih lagi,” jelasnya.
Dalam masa sama, persiapan skuad negara tetap berjalan seperti biasa meskipun berdepan kekangan latihan sepanjang bulan Ramadan sebelum ini.
“Kami berlatih pada waktu petang dan sambung semula selepas Tarawih dari pukul 10.30 malam hingga 1.30 pagi. Program memang agak mencabar, tapi berkat bulan Ramadan Insya-Allah dipermudahkan” katanya.
Tambahnya, latihan harian turut melibatkan sesi intensif termasuk latihan gimnasium dan larian bagi memastikan tahap kecergasan berada pada tahap optimum.














