fbpx
Gambar hiasan.

Pelajar perempuan ditimpa kipas siling sekolah dapat ganti rugi RM6,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Mahkamah Majistret Selama, Perak memerintahkan kerajaan dan empat lagi pihak lain membayar ganti rugi sebanyak RM6,000 kepada pelajar perempuan berusia lapan tahun sebuah sekolah rendah yang cedera selepas terkena kipas siling bilik darjahnya empat tahun lalu.

Majistret Prabakaran Rajoo memutuskan demikian selepas membenarkan sebahagian tuntutan pelajar perempuan itu selaku plaintif yang mana saman itu difailkan menerusi bapanya pada Januari 2024.

Dalam saman itu, plaintif telah menamakan Guru Besar sekolah berkenaan, Pegawai Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama, Pengarah Pendidikan Negeri Perak selaku defendan pertama hingga ketiga.

Saman itu turut menamakan Ketua Pengarah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia dan kerajaan sebagai defendan keempat dan kelima.

Dalam alasan penghakiman bertarikh 23 Mac lalu, Majistret Prabakaran memutuskan bahawa plaintif yang kini berusia 12 tahun tersebut telah berjaya membuktikan kecuaian terhadap kesemua defendan atas imbangan kebarangkalian.

Ia apabila mahkamah berpendapat berdasarkan keseluruhan keterangan, bahawa defendan-defendan telah gagal mengambil langkah munasabah untuk memastikan kipas siling tersebut berada dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik.

“Kegagalan kesemua defendan-defendan untuk memastikan langkah-langkah tersebut diambil merupakan suatu pelanggaran terhadap tanggungjawab berjaga-jaga mereka terhadap plaintif.

“Adalah tidak dipertikaikan bahawa kecederaan plaintif berpunca secara langsung daripada insiden kipas siling yang tercabut dan jatuh menimpa plaintif semasa berada di dalam bilik darjah selain kegagalan untuk mengambil langkah penyelenggaraan dan keselamatan yang munasabah terhadap kipas tersebut mempunyai kaitan sebab musabab yang terus dengan kecederaan yang dialami oleh plaintif,” kata alasan penghakiman itu.

Dalam pada itu berhubung isu sama ada terdapat tanggungjawab berjaga-jaga (breach of duty) dalam memastikan kipas siling tersebut diselenggara dengan baik, mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan tersebut.

“Mahkamah mendapati bahawa kewujudan kipas siling yang dipasang di atas ruang pembelajaran murid merupakan suatu risiko yang boleh dijangka secara munasabah (reasonably foreseeable risk). Ini kerana kipas siling adalah suatu peralatan berat yang bergantung kepada struktur pemasangan dan penyelenggaraan yang berterusan.

“Oleh itu, risiko kipas siling bermasalah sehingga boleh jatuh adalah suatu risiko yang secara munasabah boleh dijangka oleh pihak sekolah,” ujar penghakiman itu lagi.

Sementara itu, menyentuh mengenai keterangan saksi defendan iaitu guru besar sekolah plaintif yang cuba bergantung kepada amalan pemeriksaan secara “lihat dan dengar” sekiranya terdapat bunyi mencurigakan barulah laporan akan dibuat, mahkamah tidak dapat menerima pendekatan itu sebagai memenuhi standard penjagaan munasabah.

“SD1 juga telah memberikan keterangan bahawa kipas tersebut telah diselenggara dan wujud satu laporan penyelenggaraan rutin kipas di sekolah berkenaan. Namun demikian, laporan tersebut tidak dikemukakan kepada mahkamah.

“Bukan itu sahaja, SD1 turut memaklumkan bahawa pihak sekolah telah melaporkan insiden kipas jatuh tersebut kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), bahawa satu laporan berhubung insiden tersebut telah dikeluarkan oleh pihak JKR. Walaubagaimanapun, laporan tersebut juga tidak dikemukakan kepada mahkamah,” kata penghakiman itu.

Justeru dalam kes ini, Mahkamah Majistret memutuskan bahawa kecederaan dialami plaintif adalah patah tulang jari telunjuk tangan kiri (jari kedua tangan kiri) serta kecederaan tisu lembut di bahagian dada tengah yang mana kecederaan tersebut disokong oleh keterangan saksi plaintif pertama (SP1) iaitu doktor yang merawat plaintif.

Mahkamah berpuas hati bahawa kecederaan dialami plaintif adalah akibat langsung daripada insiden kipas siling yang jatuh. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN