fbpx
Anggota bomba ketika di lokasi tumpahan merkuri di sebuah pusat dialisis di Jalan Perak, hari ini. Foto ihsan JBPM

Merkuri tumpah di pusat dialisis, tiada pesakit terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kejadian tumpahan merkuri di sebuah pusat dialisis di Jalan Perak di sini, hari ini dilaporkan tidak menjejaskan pesakit buah pinggang termasuk kakitangan yang bertugas di premis berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 8.50 pagi tadi.

Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dengan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Bayan Baru.

“Satu unit mesin tekanan darah dilaporkan pecah dan menyebabkan tumpahan merkuri kira-kira 200 mililiter (ml). Kejadian berlaku di bilik utiliti berasingan dengan pesakit iaitu di aras tiga bangunan berkenaan.

“Terdapat dua orang staf sedang bertugas dan kejadian berlaku tidak menjejaskan pesakit kerana ketika itu mereka berada di tingkat empat dan lima,” katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, kerja-kerja mengawal pencemaran merkuri dilakukan dengan menggunakan serbuk sulfur dan cecair bleach digunakan untuk pembersihan.

“Bacaan tahap keasidan (PH) diambil bagi memastikan keadaan selamat. Pemantauan dilakukan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada pukul 11.49 pagi tadi,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN