BERUAS – Kerajaan akan mempertimbangkan pemberian moratorium selama dua tahun bagi komuniti nelayan yang menghadapi masalah untuk memperbaharui lesen mereka.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri kementerian tersebut, Mohamad Sabu semalam yang secara prinsip bersetuju dengan perkara berkenaan.
“Isu kesukaran memperbaharui lesen yang dihadapi oleh para nelayan kini sedang diberi perhatian serius dan bakal ditangani dengan langkah yang lebih pragmatik.
“Secara prinsipnya, YB Menteri telah bersetuju untuk mempertimbangkan pemberian kelonggaran melalui pelaksanaan moratorium pembaharuan lesen selama tempoh dua tahun,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Pertubuhan Peniaga Ikan Pantai Remis Perak di sini hari ini.
Foong Hin berkata, langkah itu dijangka dapat memberi ruang dan masa yang mencukupi kepada para nelayan untuk meneruskan operasi harian mereka, di samping menyelesaikan urusan pembaharuan lesen.
Beliau berkata, pada masa ini, pihak kementerian sedang memperincikan mekanisme pelaksanaan bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
“Sebarang perincian lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat. Kita jangka pemberian moratorium itu dapat dilaksanakan sebelum Jun hadapan,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya telah menyampaikan suara nelayan serta petani dan penternak berhubung isu subsidi bahan api seperti diesel kepada Kementerian Kewangan.
Bagaimanapun, ujar beliau, perkara tersebut tidak boleh diputuskan dalam masa terdekat dan libat urus melibatkan pelbagai kementerian serta agensi-agensi dan jabatan-jabatan di bawahnya perlu dilaksanakan terlebih dahulu. – KOSMO! ONLINE














