PETALING JAYA – Kementerian Pertahanan (Mindef) mengesahkan tiada anggota Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 yang terlibat atau tercedera ekoran beberapa insiden letupan berhampiran Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di Selatan Lebanon.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagaimanapun pihak Mindef melalui Markas Angkatan Bersama sentiasa memantau perkembangan semasa khususnya di kawasan penugasan Malbatt 850-13.
Ini kerana katanya, keselamatan anggota kekal menjadi keutamaan meskipun berlaku ketegangan antara Israel Defense Forces (IDF) dan Hezbollah di negara terbabit.
“Markas UNIFIL di Naqoura turut memantau keadaan secara berterusan serta mengeluarkan arahan kepada semua pasukan pengaman agar sentiasa berjaga-jaga.
“Langkah keselamatan tambahan telah dilaksanakan, termasuk rondaan berjadual, situational awareness serta komunikasi rapi antara unit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata Malbatt 850-13 terus melaksanakan tugasan di kawasan ranggungjawab
dengan tahap kesiapsiagaan yang tinggi.
“Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau situasi semasa serta bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL dan rakan pasukan pengaman lain.
“Ini bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara serta tugasan yang diamanahkan terus dilaksanakan
dengan baik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














