KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menambah kuota import baharu dalam saingan Liga Malaysia dikatakan keputusan yang tepat kerana mampu mendorong pemain tempatan bekerja lebih keras untuk bersaing dalam kesebelasan utama.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd. berkata, ramai pemain tempatan menunjukkan peningkatan ketara pada saingan musim ini sekali gus membuktikan mereka mampu memberi saingan sengit kepada tenaga import dalam liga.
“Daripada pengenalan kuota import baharu itu mungkin menyebabkan pemain tempatan mula bersaing secara lebih kuat untuk mendapatkan tempat dan mempamerkan bakat mereka hasil pengalaman berlatih serta beraksi bersama pemain asing.
“Jadi kita merasakan tahap mereka sudah mula meningkat.
“Sekarang kita nampak Safawi (Rasid) sudah mula menyerlah, manakala Akhyar (Rashid) sendiri melakukan tugas dengan sangat baik. Begitu juga di Selangor FC, kita sudah dapat lihat ramai pemain baharu dan muda mula muncul,” katanya.
Sebagai rekod, MFL mengumumkan penstrukturan semula peraturan kuota import bagi meningkatkan kualiti dan daya saing liga dengan membenarkan lebih ramai pemain asing didaftarkan oleh setiap kelab dalam Liga M.
Badan pengelola Liga M itu pada awalnya telah meluluskan penambahan kuota 15 pemain import buat semua kelab Liga Super dengan tujuh pemain boleh diletakkan dalam kesebelasan utama tetapi dipinda dengan hanya enam pemain beraksi di atas padang. – KOSMO! ONLINE














