LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan kejayaan mereka menjulang trofi Piala Liga Inggeris (EFL) tidak memberi jaminan terhadap perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Pada aksi final awal pagi semalam, City mencipta kejutan apabila menewaskan Arsenal 2-0 di Stadium Wembley hasil dua tandukan pemain muda, Nico O’Reilly untuk menghadiahkan trofi kelima Piala EFL kepada Guardiola dalam tempoh sedekad.
Namun, Guardiola mengakui peluang pasukannya untuk memintas Arsenal yang gah mendahului carta EPL masih sukar memandangkan mereka kini ketinggalan sembilan mata ketika saingan berbaki lapan perlawanan.
“Saya tidak fikir keputusan ini akan memberi kesan kepada mereka kerana ia pertandingan berbeza. Mereka pasti lebih fokus apabila datang ke Etihad nanti (aksi EPL) bulan depan).
“Secara peribadi, trofi EPL masih dalam genggaman mereka tetapi kami ada satu perlawanan dalam tangan dan akan cuba menang semua perlawanan, kemudian kita lihat apa yang akan berlaku,” katanya.
Sementara itu, kejayaan tersebut juga menyaksikan Guardiola meraih trofi ke-19 sepanjang mengendalikan City di Etihad yang mana lima daripadanya hadir dalam Piala EFL menjadikan beliau sebagai pengurus paling berjaya di kejohanan berkenaan.
“Setiap trofi sangat sukar untuk dimenangi, jadi ia satu kepuasan besar buat kami. Memang benar Piala EFL bukan seperti UCL atau EPL, tetapi menewaskan pasukan seperti Arsenal menjadikan trofi ini lebih istimewa,” katanya. – AGENSI














