JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan menukar kesemua jeriji penghadang di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, di sini susulan insiden seorang kanak-kanak berusia 9 tahun terjatuh sehingga mengalami kecederaan kritikal, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, inisiatif tersebut melibatkan 2,000 unit jeriji penghadang dengan kos sehingga RM3 juta.
“PPR Desa Mutiara ini merupakan antara PPR tertua di Johor, ia siap dibina sejak 19 tahun lalu. Sehubungan itu tidak dinafikan beberapa infrastrukturnya sudah berusia, selain turut rosak disebabkan vandalisme.
“Susulan itu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) telah mengeluarkan peruntukan khas bagi menggantikan bukan sahaja jeriji penghadang, tetapi juga pemegang besi tangga,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di Taman Desa Mutiara, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Jafni, pihaknya juga akan membuat penilaian keselamatan terhadap kira-kira 15,000 unit kediaman PPR dan kediaman Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di negeri ini khususnya yang telah berusia lebih 15 tahun.
Sementara itu, mengulas tentang mangsa, kanak-kanak berusia 9 tahun itu masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah di sini susulan mengalami pendarahan di dalam kepala.
“Difahamkan kanak-kanak tersebut sudah semakin stabil selepas dibawa mendapatkan rawatan hospital,” katanya. – KOSMO! ONLINE














