KOTA BHARU – Sindiket penyeludupan gagal menyeludup pelbagai jenis rokok elektronik atau vape bernilai RM750,000 ke Thailand selepas Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah stor di bawah sebuah rumah pangsa di Taman Bahagia pada minggu lalu.
Serbuan dijalankan kira-kira pukul 2 pagi pada Rabu lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota Strike Force Kompeni B, Batalion 8 PGA dengan dibantu oleh anggota risik Batalion 8 PGA.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, seorang lelaki dilihat sedang membuka sebuah stor di bawah rumah pangsa tersebut dalam keadaan mencurigakan semasa PGA tiba di kawasan tersebut.
Menurutnya, menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek terus bertindak melarikan sehingga gagal dikesan.
“Pemeriksaan terhadap stor itu membawa kepada penemuan kotak-kotak yang mengandungi vape pelbagai perisa yang disyaki untuk diseludup ke Thailand.
“Kotak-kotak itu berisi 1,800 unit peranti vape bernilai RM180,000 dan 3,800 unit cecair vape dengan setiap satunya berisipadu 30 mililiter yang dianggarkan berjumlah RM570,000,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kesemua barang kes dibawa ke Balai Polis Kota Bharu di sini sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Kota Bharu bagi tindakan dan siasatan lanjut.
Menurutnya, kes telah disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 – KOSMO! ONLINE














