PETALING JAYA – Sering diasak soalan berkaitan perkahwinan setiap kali musim perayaan, pelakon Jazmy Juma memilih untuk kekal tenang dan menyerahkan soal jodoh sepenuhnya kepada takdir.
Ujar Jazmy atau nama sebenarnya Jazmy Khan Juma Khan, 28, dia enggan meletakkan sebarang sasaran berkaitan perkahwinan kerana percaya setiap aturan hidup telah ditentukan Tuhan.
“Saya jenis ikut sahaja proses hidup. Soal jodoh ini saya serahkan kepada Tuhan sepenuhnya.
“Kalau Allah tetapkan esok saya berkahwin, saya akan berkahwin. Saya tidak mahu letak sasaran bila sebab risau kalau tidak jadi, orang akan terus bertanya.
“Saya lebih selesa diam. Bila tiba masa sesuai, barulah saya kongsikan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tidak terlalu memilih, bintang filem Pulau itu turut berkongsi kriteria wanita idaman menjadi peneman hidup kelak, dengan menitikberatkan nilai keperibadian berbanding perkara lain.
“Saya suka wanita baik hati dan berbudi pekerti. Bila dia baik, dia mampu mempengaruhi saya untuk menjadi lebih baik.
“Kadang-kadang saya sendiri boleh tersasar. Jadi bila pasangan kita baik, kita akan ikut jadi baik juga.
“Kalau pasangan terlalu sosial, kita pun mudah terikut perkara kurang baik,” ujarnya.
Tambah Jazmy, perkara paling penting dalam hubungan adalah kesetiaan serta kehadiran pasangan dalam apa jua keadaan tanpa berbelah bahagi.
“Saya mahukan seseorang yang baik, setia dan sentiasa ada. Bukan sekadar hadir waktu senang, tetapi tetap bersama walau apa pun berlaku.
“Itu paling penting bagi saya dalam membina hubungan ke arah perkahwinan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














