PETALING JAYA – Syarikat pengedar motosikal tempatan, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. (Mforce Bike) melancarkan dua model motosikal baharu iaitu WMOTO NX150S dan KTNS TT-Classic 150 di pasaran.
Pelancaran tersebut sekaligus memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna motosikal tempatan dengan model yang menampilkan gabungan reka bentuk moden, teknologi terkini serta harga yang kompetitif.
Ketua Pegawai Operasi Mforce Bike, Asri Ahmad berkata, sejak penubuhan pada 2008, Mforce sentiasa komited untuk merealisasikan impian rakyat Malaysia untuk memiliki motosikal idaman mereka yang berkualiti tinggi, reka bentuk menarik serta ditawarkan pada harga mampu milik.
Menurutnya, Mforce telah mengeluarkan pelbagai kategori motosikal daripada kapasiti enjin 110cc sehinggalah 2,000cc dan hari ini mereka mengambil peluang untuk melancarkan lagi dua model terbaharu daripada jenama WMOTO dan KTNS.
“WMOTO NX150S hadir sebagai skuter moden dengan gaya dinamik, prestasi responsif serta ciri praktikal yang sesuai untuk kegunaan harian.
“Manakala pula KTNS TT-Classic 150 menampilkan reka bentuk klasik dan elegan yang digabungkan dengan teknologi moden, sekali gus memberikan pengalaman tunggangan unik kepada peminat motosikal bergaya retro,” katanya ketika pelancaran motosikal tersebut baru-baru ini.
Tambah Asri, apa yang lebih menarik kedua-dua model motosikal tersebut ditawarkan pada harga yang amat berbaloi dan mampu milik.
WMoto NX150S ditawarkan pada harga RM6,688 dan KTNS TT-Classic 150 RM6,888.
Dalam pada itu, Asri berkata, Mforce kini berada di kedudukan kedua dalam pasaran motosikal domestik dan turut mencatat perkembangan memberangsangkan di peringkat antarabangsa menerusi penubuhan rangkaian operasi di Indonesia, Vietnam serta yang terbaharu di China.
“Perkembangan ini merupakan satu pencapaian yang amat luar biasa dan ini membuktikan bahawa sebuah syarikat yang dimiliki oleh rakyat Malaysia mampu melangkah lebih jauh dan bersaing di peringkat global.
“Pencapaian dan kemajuan Mforce hari ini adalah hasil sokongan kuat daripada semua rakyat Malaysia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














