PETALING JAYA – Pelakon Bront Palarae bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini di Boston, Amerika Syarikat (AS) bagi menyambung pengajian di peringkat Sarjana selama tiga minggu.
Tidak keseorangan, Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 48, terbang ke AS bersama keluarganya bagi melengkapkan pengajian Pentadbiran Perniagaan Eksekutif (EMBA) di Asia School of Business.
“Tidak dapat beraya di Malaysia kerana saya dan keluarga berangkat ke AS bagi menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan Eksekutif.
“Saya akan berada di Boston selama tiga minggu untuk menamatkan pengajian kemudian akan graduasi,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sidang media Filem Kong Tao di sini, semalam.
Dia bagaimanapun tidak menafikan berasa bimbang apabila perlu terbang ke AS ketika konflik Asia Barat kian meruncing ketika ini.
“Doakanlah perjalanan kami sekeluarga dalam keadaan tenang dan selamat sampai.
“Sudah pasti ada kerisauan selepas melihat apa yang berlaku.
“Tapi saya serahkan soal ajal dan maut kepada Allah SWT,” ujarnya.
Sementara itu, Bront bakal muncul dengan filem seram berjudul Kong Tao yang mula menemui penonton hari ini.
Ujarnya, dia teruja apabila berpeluang membintangi naskhah yang menggabungkan pelakon dari beberapa negara Asia termasuk Hong Kong, Thailand dan Singapura.
“Saya memang tidak sabar tunggu filem ini ditayangkan di pawagam.
“Naskhah yang mengangkat tentang ilmu hitam ini sangat menarik kerana bukan sahaja melibatkan budaya di Malaysia tapi negara-negara jiran.
“Tambahan pula, isu amalan ilmu hitam bukan perkara asing dalam kalangan masyarakat Asia, harap dapat sambutan daripada penonton tempatan,” ujarnya lagi.
Selain Bront, filem tersebut turut dibintangi artis popular Hong Kong, Philip Keung dan aktres asal Thailand, Kao Supassara. – KOSMO! ONLINE














