WASHINGTON – Kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS), USS Gerald R. Ford berundur daripada operasi berkaitan perang Iran dan belayar ke pangkalan Tentera Laut AS di Crete untuk kerja-kerja pembaikan, selepas kebakaran berlaku di atas kapal minggu lalu, lapor saluran berita CNN.
Pergerakan kapal pengangkut pesawat paling canggih tentera laut itu berlaku ketika operasi ketenteraan terhadap Iran masih giat dijalankan, terutamanya ketika AS sedang mencari jalan untuk mengurangkan ancaman Tehran terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Kapal pengangkut itu berfungsi sebagai platform sedia ada untuk jet pejuang Amerika menyertai serangan-serangan AS.
“Kebakaran pada 12 Mac lalu tidak berkaitan dengan pertempuran,” kata tentera AS pada masa itu. Dua kelasi menerima rawatan perubatan untuk kecederaan yang tidak mengancam nyawa dan berada dalam keadaan stabil.
Pegawai tersebut berkata, Ford yang sedang belayar di Laut Merah, akan berada di Teluk Souda di Crete, Greece untuk tempoh singkat bagi menjalani pembaikan.
Kapal-kapal lain dalam Kumpulan Pelancaran Ford Carrier masih kekal di tempat ia berada di rantau itu dan tidak menyertai USS Gerald R. Ford di Souda Bay.
Kapal pengangkut pesawat paling canggih Tentera Laut AS itu telah dikerahkan selama berbulan-bulan dengan yang pertama ke Caribbean di tengah-tengah ketegangan dengan Venezuela.
Pada Februari lepas, Presiden Donald Trump berkata, beliau akan menghantar kumpulan penyerang kapal pengangkut itu ke Asia Barat dalam usaha untuk mengenakan lebih banyak tekanan ke atas Iran. – AGENSI














