SHAH ALAM – Ramai menggunakan peluang sepanjang Ramadan ini untuk bekerja lebih masa sebagai penghantar makanan (rider) sambilan bagi mendapatkan duit tambahan bagi perbelanjaan menyambut hari raya.
Disebabkan permintaan tinggi dan peningkatan keperluan hantar makanan ketika Ramadan menyebabkan mereka mengambil peluang menjadi rider sambilan.
Seorang rider, Khairul Mohd. Rani, 45, berkata, dia bekerja dari pukul 3 petang hingga 1 pagi bagi menambah simpanan menjelang Aidilfitri.
Jelasnya, kerja itu dibuat bagi menampung perbelanjaan keluarga selain memastikan isteri dan tiga anaknya berusia dua hingga 11 tahun dapat menyambut Syawal dengan selesa.
“Saya memang sudah buat tabungan awal sebelum ini, tetapi sepanjang Ramadan saya tambah lagi dengan bekerja lebih masa.
“Pendapatan yang diperoleh ketika ini bukan sahaja untuk raya, tetapi juga sebagai simpanan selepas raya,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Khairul yang berasal dari Taiping, Perak berkata, peningkatan sehingga 20 peratus penghantaran sekali gus memberi peluang kepada rider memperoleh pendapatan tambahan.
“Penat memang ada, tetapi bila fikir dapat sediakan keperluan raya untuk keluarga, rasa puas itu lebih besar. Yang penting cukup modal untuk sambut raya bersama keluarga,” ujarnya.
Bagi Muhd. Amirul Rabu, 23, bekerja sebagai penghantar makanan menjadi sumber tambahan pendapatan selain kerjanya sebagai juruteknik.
Jelasnya, dia mampu mampu meraih kira-kira RM70 setiap malam bagi menampung perbelanjaan sambutan Aidilfitri dengan bekerja bermula 9.30 malam hingga 12 tengah malam.
“Hasil kerja keras digunakan untuk membeli juadah raya dan sediakan duit raya kepada anak-anak buah apabila pulang ke kampung halaman di Taiping, Perak bersama keluarga nanti.
“Lagi pun saya masih muda, jadi anggap ia pengorbanan kecil demi memastikan Syawal tahun ini lebih gembira,” katanya.
Bagi Mohd. Rizal Rozman, 23, walaupun pendapatan sebagai penghantar makanan tidak tetap, tetapi bersyukur kerana pekerjaan itu membolehkannya menabung dan dapat duit lebih.














