KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket mencuri dan mengklon kenderaan mewah di enam negeri akhirnya terbongkar apabila polis merampas pelbagai kenderaan bernilai RM1.1 juta.
Operasi khas dikenali sebagai Op Lejang Mewah Klon oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berjaya menumpaskan kegiatan tersebut selepas risikan hampir lima bulan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi yang dijalankan selama empat hari bermula Khamis lalu melibatkan kerjasama JSJ kontinjen di beberapa negeri.
Menurutnya, sindiket berkenaan dikesan beroperasi di Kedah, Kelantan, Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.
“Dalam operasi ini, seramai 12 individu terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 33 hingga 60 tahun telah ditahan.
“Siasatan awal mendapati sebahagian suspek berperanan sebagai pembeli dan penjual kenderaan curi yang telah diklonkan,” katanya pada sidang akhbar Op Lejang Mewah Klon di sini hari ini.
Beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang dikehendaki polis Singapura kerana dipercayai terlibat dalam kes kecurian kenderaan di negara itu.
“Suspek berkenaan juga dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan kenderaan curi dari Singapura ke Malaysia,” ujarnya.
Menurut beliau, sebanyak 12 kenderaan pelbagai jenama dipercayai kenderaan curi dan klon berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.1 juta.
“Antara kenderaan yang dirampas termasuk Toyota Vellfire (tiga unit), Toyota Estima (dua), Toyota Altis (dua), selain masing-masing satu unit Toyota Harrier, Mazda 3, Honda City, Honda City Hatchback dan Toyota Camry.
“Daripada jumlah tersebut, empat kenderaan dipercayai dicuri di Singapura sebelum diseludup masuk ke negara ini dan kita sedang bekerjasama dengan pihak Polis Singapura bagi tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan forensik ke atas lapan kenderaan mendapati kesemuanya telah diubah suai pada nombor casis dan enjin bagi menyembunyikan identiti sebenar.
“Dalam pemeriksaan itu, dua nombor casis berjaya ditimbulkan semula dan salah satu daripadanya disahkan sebagai kenderaan yang dilaporkan hilang di Genting Highlands,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sindiket tersebut menggunakan pelbagai taktik bagi mengaburi pihak berkuasa termasuk menggunakan kenderaan curi atau kenderaan ‘beyond economic repair’ (BER) sebagai sumber identiti.
Selain itu katanya, mereka turut memanipulasi data pendaftaran, menukar nombor casis dan enjin serta menggunakan nombor pendaftaran baharu.
“Kenderaan yang telah diklon kemudiannya dijual kepada orang awam melalui rangkaian penjual kenderaan terpakai, individu persendirian dan juga platform media sosial.
“Kereta-kereta ini biasanya ditawarkan pada harga antara 50 hingga 60 peratus lebih murah berbanding nilai pasaran semasa,” katanya.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati lapan daripada 12 kenderaan yang dirampas mempunyai geran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan kesahihannya kini sedang disiasat.
Kumar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, polis percaya sindiket berkenaan mempunyai rangkaian lebih luas melibatkan beberapa negeri dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan kenderaan lain yang telah diklon. – KOSMO! ONLINE














