SEREMBAN – Kerajaan negeri membatalkan sambutan Hari Raya Aidilfitri selaras dengan arahan kerajaan pusat yang tidak menggalakkan penganjuran majlis tersebut tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan bahawa selain sambutan peringkat negeri, program Hari Raya Madani anjuran kerajaan pusat turut dibatalkan.
“Sambutan negeri yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 4 April di Bandar Seri Jempol , manakala sambutan kebangsaan di Port Dickson pada 12 April, tidak akan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Mantai Rayo 2020 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat di sini hari ini.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas perbincangan di peringkat kerajaan negeri dan bertujuan mematuhi arahan supaya jabatan serta agensi kerajaan tidak menganjurkan sambutan Aidilfitri tahun ini.
Tambahnya, pembatalan tersebut dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri, sekali gus membolehkan dana itu disalurkan kepada keperluan lain yang lebih mendesak.
Walau bagaimanapun, katanya, pihak bukan kerajaan termasuk parti politik masih dibenarkan meneruskan penganjuran sambutan Aidilfitri masing-masing, dengan syarat ia tidak dilakukan secara besar-besaran. – KOSMO! ONLINE














