fbpx
INTAN ANIS melihat barangan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis semalam.

‘Kenangan arwah ibu musnah, sambutan raya pun suram’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA PERLIS – Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini suram buat lima keluarga apabila rumah mereka di Kampung Pulau Ketam di sini musnah dalam kebakaran semalam.

Menurut mangsa, Siti Nasuhah Che Saad, 30, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana sedang bekerja di Bintong, Kangar.

“Sejurus menerima panggilan telefon memaklumkan rumah terbakar, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah keselamatan anak yang berada bersama datuknya.

“Apabila tiba di lokasi, rumah memang tidak dapat diselamatkan dan semua persiapan raya habis musnah. Baju raya dan barang-barang persiapan semuanya hangus,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut hari ini.

Tambahnya, dia amat sedih dengan kejadian itu dan kini terpaksa menumpang berteduh bersama ahli keluarga di rumah saudara terdekat.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Intan Anis Norfazren Roslin, 27, tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan rumah tersebut merupakan peninggalan arwah ibunya.

“Ini rumah abah, juga rumah peninggalan arwah mak kami. Segala persiapan raya ayah musnah, tiada apa yang dapat diselamatkan. Kami lima beranak tinggal di sini dan semuanya sudah membuat persiapan raya.

“Sedih sangat kerana di sinilah banyak kenangan bersama arwah mak, hasil titik peluhnya. Saya juga kasihan kakak kerana dia lebih trauma, tinggal di rumah tengah bersama suaminya. Buat sementara waktu, mereka menumpang di rumah ayah di hadapan,” ujarnya dalam nada sayu.

Dalam kejadian itu, nilai kerugian bagi kedua-dua rumah dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit termasuk kenderaan serta kelengkapan rumah.

Tragedi berkenaan bukan sahaja memusnahkan tempat berteduh, malah merentap kenangan yang tidak mungkin dapat diganti, menjadikan Aidilfitri tahun ini paling suram buat mereka sekeluarga.

Kosmo! Online semalam melaporkan lima keluarga di Pulau Ketam berdepan ujian besar apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, empat rumah musnah sehingga 99 peratus, manakala sebuah lagi kira-kira 30 peratus. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI